mutakhir

Kedutaan China tolak memorandum isu Uighur

Oleh Rosyahaida Abdullah

USAHA Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA), hari ini untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan China di Malaysia berhubung isu penindasan etnik Uighur di negara itu, gagal.

Ini kerana tiada wakil kedutaan melayani badan bukan kerajaan (NGO) itu malah, memorandum juga gagal diserahkan.

Presiden AGRA, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, kesal dengan cara kedutaan itu yang seolah-olah tidak mengendahkan kehadiran mereka.

“Ini suara kolektif yang peduli perihal kemanusiaan etnik Uighur, namun malangnya kami tidak dilayan dan kami ambil keputusan untuk tidak menghantar memorandum ini kerana jika tetap diberikan, ia bakal masuk ke tong sampah.

“Mungkin mereka mahu kami datang secara diplomasi, justeru satu surat akan diusulkan kepada kedutaan itu nanti.

“Ia bagi memohon kerajaan China mengizinkan pihak seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk diberikan akses untuk melihat keadaan sebenar di sana.

“Kita tidak mahu termakan agenda barat yang dipengaruhi persaingan berkaitan ekonomi mahupun hebahan berita tidak benar. Maka sebab itu kami ingin tahu sendiri dengan melihat keadaan sebenar di sana dengan adanya wakil dari Malaysia,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama kira-kira 20 wakil pelbagai NGO melakukan bantahan aman di hadapan kedutaan itu di Jalan Ampang, Kuala Lumpur sebelum cuba menghantar memorandum terbabit.

Antara NGO lain yang hadir termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Dalam pada itu, Mohd Ashraf Mustaqim menuntut kerajaan bersuara dan memainkan peranan berhubung isu pencabulan hak asasi manusia ke atas etnik ditindas itu.

“Yang penting hubungan diplomasi perlu dijaga dan kerajaan perlu main peranan membantu masalah global seperti konflik dan peperangan. Malaysia sudah banyak membantu negara bagi kes pemisah antara negara malah, bersifat sebagai pemudah cara.

“Selepas ini kita akan tulis surat kepada badan berkaitan dan harap ia dipermudahkan. Tetapi jika ia tidak mampu diselesaikan, kita akan buat perhimpunan untuk membantah secara besar-besaran dengan pembabitan lebih banyak NGO,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 4:36pm
d