mutakhir

Agong, Permaisuri rakam takziah kemangkatan Tengku Abdul Aziz

Oleh BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Tengku Panglima Perang Pahang, Tengku Abdul Aziz Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar, yang kembali ke rahmatullah, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa simpati dan sedih di atas pemergian Almarhum dan berharap seluruh keluarga Almarhum tabah menghadapi suasana pilu itu.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Almarhum dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin,” katanya.

Sementara itu, menurut ‘House of Pahang’ dalam satu hantaran menerusi laman Instagram, Tengku Abdul Aziz kembali ke Rahmatullah pada 6 pagi di kediaman beliau di Jalan Madge, Kuala Lumpur.

Pengebumian dijadualkan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Jalan Ampang.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 5:22pm
d