mutakhir

Episod hitam pasangan kekasih

Oleh Mohd Sabran Md Sani

BUKAN saja ditipu dengan tawaran kerja tidak wujud, pasangan kekasih berdepan episod hitam apabila kerugian RM60,000 selepas disamun lelaki baharu dikenali di Lima Kedai, Gelang Patah di Iskandar Puteri, semalam.

Lebih malang lagi, teman wanita mangsa dipaksa melakukan oral seks, turut dicabul dan perbuatan itu dirakam sebagai ugutan supaya tidak melaporkan kejadian berkenaan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhari Mukhtar berkata, suspek yang bersenjatakan parang itu dikenali kedua-dua mangsa terbabit melalui Facebook.

Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa lelaki yang juga jurujual berusia 20 tahun dan teman wanitanya berusia 23 tahun meminjam Perodua Myvi milik rakan mereka dari Kuala Lumpur ke Johor, semalam.

Katanya, kedua-dua mangsa ke Johor selepas ditawarkan kerja sebagai model sambilan dengan tawaran bayaran RM3,000.

“Mangsa wanita yang bersetuju dengan tawaran suspek, bergerak 8 pagi ke Johor bersama teman lelakinya sebelum mereka diambil suspek di kawasan Pontian.

“Mereka dibawa ke arah Lima Kedai, Gelang Patah, pada 12.30 tengah hari dan sejam kemudian, kenderaan itu berhenti di kawasan jalan mati sebelum suspek mengeluarkan sebilah parang panjang daripada belakang badan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Dzulkhari berkata, suspek mengacukan parang di leher teman lelaki mangsa dan menariknya keluar dari kenderaan itu, kemudian mengurungnya di dalam bonet belakang.

“Suspek masuk semula ke dalam kereta sambil mengacukan parang ke arah mangsa wanita dan melakukan ancaman seksual.

“Suspek kemudian memandu kereta sampai di kawasan kebun sawit di Pontian dan meninggalkan kedua-dua mangsa di tepi jalan.

“Suspek melarikan kereta dan barangan milik mangsa termasuk beg pakaian, barang alat solek, jam tangan jenama, kad bank, sepasang kasut jenama dan telefon bimbit dan wang tunai RM 300.

“Nilai kerugian dianggarkan RM60,000. Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 397 KK, Seksyen 377C KK dan Seksyen 354 KK,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 7:27pm
d