mutakhir

Kecewa gagal serah memorandum

Oleh Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling

SEBANYAK 58 badan bukan kerajaan (NGO) kecewa apabila Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur enggan menerima memorandum bagi membantah tindakan negara itu terhadap etnik Uighur.

Exco Pemuda Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim berkata, tindakan mereka sangat mengecewakan kerana beliau bersama 58 NGO lain ingin menyerahkan memorandum berkenaan atas dasar diplomasi terjalin antara Malaysia dan China.

“Kami secara tidak langsung ingin menyatakan kekecewaan, kami tahu kedutaan membuka operasinya hari ini, tetapi mereka tidak melayan kita.

“Mereka tidak layan untuk kita hantar memorandum, maka kita tidak serahkan. Kita tidak mahu memorandum ini `dibakul sampahkan’.

“Kita datang atas hasrat diplomasi, bukan datang ingin menggesa, marah atau hendak ajak perang,” katanya kepada pemberita di hadapan Kedutaan Besar China, hari ini.

Antara NGO turut serta dalam penyerahan memorandum itu ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Kelab Generasi Patriot Malaysia (GenPatriot), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Ashraf berkata, memorandum itu antara lain meminta kerajaan China membenarkan beberapa pihak seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk diberikan akses melihat situasi etnik Uighur di Xinjiang.

Sementara itu, Setiausaha Agung GPMS, Asri Abu Zarin berkata, pihaknya terpanggil untuk mendesak pihak berkuasa China memberi penjelasan mengenai apa sebenar yang berlaku.

Katanya, terlalu banyak versi disebarkan masyarakat dunia sedangkan pada masa sama, ada ribuan rakyat menderita dalam konflik kemanusiaan era moden itu.

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Besar China di Malaysia dalam kenyataannya berkata, pihaknya sentiasa terbuka kepada cadangan dan kritikan membina.

“Bagaimanapun, kami tidak menerima tuduhan tidak bertanggungjawab dan tidak berasas berdasarkan berita palsu.

“Sepanjang minggu lalu, media sosial di Malaysia dibanjiri berita palsu berkaitan dengan Xinjiang. Ini adalah fakta menyedihkan, namun ia terus berlaku,” katanya.

Menurutnya, Xinjiang kini berada dalam keadaan aman dan menjadi destinasi perjalanan ideal untuk rakyat Malaysia terutama Muslim.

Katanya, tiada sekatan untuk orang asing melawat Xinjiang dan mereka dialu-alukan untuk melawat ke sana serta melihat dengan mata sendiri.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 7:49pm
d