mutakhir

Budak lelaki maut motosikal dirempuh kereta

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SEORANG kanak-kanak maut manakala bapa saudara dan sepupunya parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 13, Jalan Kangar-Alor Setar berhadapan sebuah stesen minyak di Simpang Empat, Kangar, hari ini.

Mangsa yang maut, Irfan Zahran Mohammad Yazid, 6, dari Kuala Perlis manakala penunggang yang juga bapa saudaranya, Rosli Hussin, 45, dan anak lelaki Rosli, Muhammad Muhaimin, 6 dari Simpang Empat parah di kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, dalam kejadian yang berlaku pada jam 5 petang tadi, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah Rosli dari pusat tuisyen di Kampung Bunga Emas dengan menaiki motosikal.

“Bagaimanapun ketika motosikal terbabit tiba di simpang keluar ke Jalan Kangar-Alor Setar, sebuah kereta jenis Toyota Estima yang dipandu pelajar berusia 20 tahun dari arah Alor Setar terbabas dan memasuki arah bertentangan sebelum merempuh ketiga mereka di persimpangan berkenaan.

“Akibat dari rempuhan itu, Irfan Zahran maut di tempat kejadian manakala penunggang putus jari kaki kanan dan seorang lagi kanak-kanak parah di kepala dan anggota badan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, pemandu kereta bersama penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan namun keadaan kereta dan motosikal mengalami kerosakan rosak.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk dibedah siasat manakala dua lagi mangsa kini masih dirawat di Unit Kecemasan HTF,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca sebenar kemalangan masih disiasat.

Cubaan wartawan untuk menemubual keluarga mangsa gagal berikutan keadaan emosi yang masih terganggu.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 9:35pm
d