mutakhir

Bilik tidur pelajar tahfiz terbakar

Oleh Zuliaty Zulkiffli

BANGUNAN dua tingkat Maahad Tahfiz Imam Al Jahzari, Jalan Bunga Raya 6, Jalan Tongkang Yard, Alor Setar, musnah dalam kebakaran, malam ini.

Dalam kejadian 8.50 malam itu, semua 18 pelajar lelaki di pusat tahfiz itu sempat melarikan diri ketika api sedang marak.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.59 malam berhubung kebakaran itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja diketuai Pegawai Bomba Mohd Zabidi Abu Hassan bersama sepasukan anggota tiba di lokasi kejadian pada 9.05 malam.

“Operasi turut dibantu sepasukan anggota BBP Alor Setar bersama tiga jentera termasuk sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Kebakaran membabitkan sebuah bangunan dua tingkat batu yang beroperasi sebagai Mahad Tahfiz lelaki.

“Kemusnahan membabitkan sebahagian bangunan itu dan kebakaran dapat dikawal pada 9.12 malam.

“Tindakan BBP Jalan Raja adalah memadam kebakaran dengan satu aliran dua pancutan dan operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, anggota BBP Alor Setar memberi bantuan air (Relay) dan kebakaran membabitkan tempat tidur pelajar.

Beliau berkata, kebakaran tidak membabitkan mangsa apabila semua pelajar berjaya menyelamatkan diri manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 10:36pm
d