mutakhir

Suspek kes langgar lari diburu

Oleh Zuliaty Zulkiffli

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan seorang pemandu lori yang disyaki terbabit dalam kejadian langgar lari membabitkan seorang kanak-kanak di Napoh, di Jitra, 10 Disember lalu.

Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff berkata, setakat ini, belum ada saksi tampil memberi maklumat sebenar untuk memudahkan siasatan dilakukan dalam kes itu.

Beliau berkata, sekiranya ada saksi yang nampak kejadian itu, mereka boleh memaklumkan pihaknya atau mana-mana balai polis terdekat.

“Kita percaya ada saksi yang nampak jelas kejadian itu namun takut untuk tampil memberi maklumat tetapi kita akan merahsiakan identiti saksi berkenaan.

“Yang penting, kami memperoleh maklumat berkaitan kes itu memandangkan kes itu masih disiasat sebagai ‘langgar lari’ katanya pada sidang media selepas Operasi Bersepadu di Bandar Darulaman, di Jitra, hari ini.

Dalam operasi itu, seramai 110 penguat kuasa terdiri daripada pelbagai agensi termasuk JPJ, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Dalam kejadian 10 Disember lalu, seorang kanak-kanak lelaki, Worawut Sangtang, 6, maut digilis kenderaan dipercayai lori.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa dipercayai membonceng motosikal yang ditunggangi ibu saudaranya, Suchada Sangtang, 29, dipercayai dilanggar lori berkenaan di berhadapan RTC Napoh, tidak jauh dari rumah mereka di Kampung Napoh, Jitra.

Akibat kejadian itu, mangsa maut di tempat kejadian namun ibu saudaranya hanya mengalami cedera ringan.

Ismasuhaimi berkata, pihaknya percaya lori terbabit mengalami kerosakan akibat kejadian itu dan berharap pemandunya tampil untuk menyerah diri.

Beliau berkata, sekiranya kes ini dibiarkan sebagai langgar lari ia boleh dikategorikan sebagai jenayah kerana membabitkan kematian.

Disiarkan pada: December 25, 2019 @ 10:10am
d