mutakhir

Baja dan benih bayam dirampas

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas biji benih bayam dan baja organik dengan berat keseluruhan kira-kira 40 kilogram (kg) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang, semalam.

Menerusi kenyataan MAQIS, barangan yang dirampas itu dibawa masuk ke negara ini oleh seorang lelaki dari India tanpa dokumen yang sah seperti Import Permit dan Sijil Fitosanitasi.

“Berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan di laluan antarabangsa penumpang pada 4 petang itu, jumlah barangan dirampas adalah sebanyak tiga guni biji benih bayam seberat 30 kg dan seguni baja organik seberat 10 kg bagi tujuan ditanam di negara ini.

“Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3), akta yang sama,” katanya, hari ini.

Kenyataan itu menyebut, sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya.

Dalam pada itu katanya, MAQIS sentiasa bersedia dalam melakukan tugasan di semua pintu masuk negara dalam memastikan komoditi pertanian yang masuk ke negara mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

Katanya, ini bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat dimakan oleh rakyat Malaysia.

Disiarkan pada: December 25, 2019 @ 12:17pm
d