mutakhir

Lesap RM49,500

Oleh Shahrinnahar Latib

HASRAT peniaga di Kuantan untuk membesarkan perniagaannya tidak kesampaian, malah kerugian RM49,500 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian apabila mangsa berusia 48 tahun berhubung dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Paul’ untuk urusan pinjaman wang.

“Setelah diberi penerangan dan dijanjikan yang munasabah akhirnya pengadu bersetuju untuk membuat pinjaman berjumlah RM80,000.

“Pada 15 November lalu, mangsa mula membuat pelbagai bayaran untuk proses, pengaktifan akaun, bayaran pertama dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa sudah mendepositkan wang ke dalam beberapa akaun dengan berjumlah RM49,500 dan sehingga kini suspek masih terus menghubunginya lagi untuk meminta bayaran.

“Namun, selepas itu mangsa tidak mahu meneruskan urusan permohonan pinjaman berkenaan selepas mengesyaki ada berlaku penipuan.

“Mangsa meminta suspek supaya wang diberikan itu dikembalikan, namun lelaki itu enggan memulangkannya. Dia kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam,” katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Disiarkan pada: December 25, 2019 @ 12:20pm
d