mutakhir

Bantuan untuk murid cemerlang bukan automatik

Oleh Baharom Bakar

MURID yang mendapat keputusan cemerlang pada peperiksaan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) bukannya secara automatik memperoleh bantuan persediaan Yayasan Terengganu (YT).

Sebaliknya, mereka sama seperti murid lain iaitu perlu mengemukakan permohonan beserta surat tawaran melanjutkan persekolahan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) untuk mendapatkan bantuan berkenaan.

Pengarah YT, Ishamudin Hashim ketika menjelaskan kekeliruan itu berkata, hadiah kecemerlangan sebanyak RM300 kepada setiap murid yang memperoleh keputusan 6A pada peperiksaan PPSR adalah insentif khas kerajaan negeri.

Bagaimanapun jelasnya, semua murid yang menerima insentif berkenaan bukannya secara automatik menerima bantuan persediaan untuk ke SBP.

“Murid berkenaan sama seperti rakan mereka yang lain, perlu membuat permohonan serta mengemukakan surat tawaran dikeluarkan SBP.

“Insentif kecemerlangan adalah perkara berbeza dengan bantuan persediaan dan murid yang memperoleh keputusan cemerlang pada keputusan peperiksaan PPSR perlu membuat permohonan bagi memdapatkan bantuan persediaan ke SBP,” katanya ketika dihubungi, di Kuala Terengganu, hari ini.

Ishamudin berkata demikian bagi mengulas kekeliruan ibu bapa mengenai kelayakan mereka untuk mendapatkan bantuan persediaan kemasukan ke SBP.

Kekeliruan itu tercetus apabila ada antara ibu bapa mendakwa mereka tidak menerima bantuan kemasukan ke SBP berjumlah RM500 selepas memperoleh insentif kecemerlangan berjumlah RM300.

Seramai 540 murid di seluruh negeri memperoleh insentif kecemerlangan selepas mendapat keputusan 6A pada peperiksaan PPSR membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM162,000.

Ishamudin berkata, pihaknya masih mengumpul data jumlah murid yang ditawarkan melanjutkan persekolahan di SBP dan peruntukan keseluruhan akan dibelanjakan untuk bantuan persediaan.

“Pengagihan bantuan persediaan ke SBP kepada murid yang layak akan dilakukan secara berperingkat, ” katanya.

Disiarkan pada: December 25, 2019 @ 2:56pm
d