mutakhir

Ambil tindakan pihak eksploitasi bawang India

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

BAHAGIAN Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 jika terdapat mana-mana peringkat rantaian mengambil kesempatan mengaut keuntungan tidak munasabah semasa berlakunya kekurangan bekalan bawang India.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pihaknya sudah mengarahkan KPDNHEP Negeri Perlis membuat siasatan berhubung kenaikan harga bawang India seperti dilaporkan di akhbar.

“Siasatan berkenaan akan meliputi seluruh rantaian bekalan bawang India dari peringkat pengimport, pembekal, pemborong dan seterusnya peruncit.

“Notis mengikut Seksyen 21 akan dikeluarkan terhadap setiap rantaian bekalan berkenaan bagi mendapatkan maklumat harga kos dan mengesan kenaikan harga bawang itu.

“Sekiranya terdapat mana-mana peringkat rantaian mengambil kesempatan semasa berlakunya kekurangan bawang India dengan mengambil keuntungan tidak munasabah, kami akan mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Menerusi akta itu, mana-mana orang yang melakukan mana-mana kesalahan di bawah Bahagian III atau Bahagian IV, apabila disabitkan, jika suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM1 juta.

Jika bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Harian Metro melaporkan, harga sekilogram bawang merah dijual kepada pengguna di Perlis naik tiga kali ganda sejak sebulan lalu apabila bekalan bahan berkenaan terputus dan begitu terhad kebelakangan ini.

Pengarah KPDNHEP Perlis, Khairul Amin Talib dilaporkan berkata, bekalan bawang merah mula dikesan menyusut sejak dua bulan lalu dan ia adalah kali pertama dalam 10 tahun harga bekalan bawang merah naik mendadak di negeri berkenaan.

Disiarkan pada: December 25, 2019 @ 7:36pm
d