mutakhir

Tak mengaku lakukan amang seksual

Oleh Murni Wan Omar

SEORANG juruanalisis data dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak saudara berusia enam tahun.

Tertuduh berusia 33 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Azrul Darus.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan di sebuah bilik di sebuah taman perumahan dekat Ampang, 4.30 petang, pada 11 Disember lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Hashimah Hashim memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan kerana bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Kalvinder Singh Sidhu memohon dibenarkan ikat jamin atas alasan isterinya yang sedang hamil empat bulan mempunyai komplikasi kehamilan.

Azrul kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan tidak boleh mengganggu mangsa.

Tertuduh juga diperintahkan untuk melaporkan diri di Balai Polis Ampang Jaya, sekali sebulan, dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah juga menetapkan 31 Januari depan untuk sebutan semula.

Disiarkan pada: December 26, 2019 @ 1:13pm
d