mutakhir

Bawang merah RM13 sekilogram

Oleh Balqis Jazimah Zahari

PENIAGA di Pasar Besar Ipoh terpaksa berdepan rungutan pelanggan sejak beberapa bulan lalu susulan kenaikan harga bawang yang terlalu tinggi.

Noorjahan Mohd Ibrahim, 41, yang sudah lebih 20 tahun berniaga di pasar berkenaan berkata, dia terpaksa menaikkan harga bawang besar empat kali ganda daripada biasa kerana turut mendapat harga tinggi dari pemborong.

“Kalau sebelum ini, kita menjual bawang besar cuma RM2.50 hingga RM3 sekilogram tetapi sejak dua bulan lalu harganya naik sehingga RM7 sekilogram.

“Bawang kecil sebelum ini hanya RM8 sekilogram namun kini sudah naik sehingga RM13 sekilogram.

“Memang ramai pelanggan merungut dan terkejut dengan kenaikan harga itu, tetapi kami sebagai peniaga juga mendapat harga tinggi dari pemborong,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, dia juga terpaksa mendapatkan bekalan bawang besar yang diimport dari China dan Pakistan kerana terputus bekalan bawang dari India sejak dua bulan lalu.

Seorang lagi peniaga, Noorzihan Aji Alang Wahi, 57, berkata, dia kini tidak lagi menjual bawang besar dari India selepas harganya naik tinggi.

“Sebelum ini saya hanya menjual bawang besar dari India dengan harga antara RM3 hingga RM5 sekilogram, tetapi sejak bulan lalu sudah tidak menjualnya lagi kerana harganya terlalu tinggi.

“Jadi sekarang saya hanya mengambil dan menjual bawang besar yang diimport dari Belanda,” katanya.

Noorzihan berkata, dia juga terpaksa menjual bawang merah pada harga RM10 sekilogram berbanding RM5 sejak dua minggu lalu.

Pengguna yang juga guru, G Shalini Devi, 34, berkata dia ke pasar setiap minggu untuk membeli barangan dapur terutama bawang.

“Kalau sebelum ini saya membeli bawang besar dengan harga RM3 hingga RM5 sekilogram sahaja tetapi sekarang harga meningkat lebih sekali ganda.

“Mungkin saya masih mampu, tetapi kasihan kepada mereka bergaji rendah, saya berharap ada jalan penyelesaian untuk menurunkan harga kerana bawang adalah barang keperluan harian,” katanya.

Disiarkan pada: December 26, 2019 @ 3:18pm
d