mutakhir

JIM tak iktiraf skuad PUTRA [METROTV]

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah mengiktiraf penubuhan skuad sukarela memburu warga asing tinggal lebih masa seperti yang tular di media sosial.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, ia merujuk kepada laporan media sosial dan kenyataan mengenai penubuhan sukarelawan PUTRA yang didakwa memburu pelancong asing yang tinggal lebih masa di negara ini.

“Perlu ditegaskan bahawa membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) adalah tugas pihak berkuasa berlandaskan undang-undang sedia ada.

“Tiada mana-mana pihak atau pertubuhan diberikan kuasa mengikut undang-undang untuk memburu PATI,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, JIM sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI termasuk pelancong asing yang tinggal lebih masa di negara ini.

“Sejak 1 Januari hingga 24 Disember lalu, JIM melaksanakan 17,328 operasi penguatkuasaan dan hasilnya seramai 50,715 PATI serta 1,251 majikan ditahan.

“Setiap PATI yang ditangkap akan melalui proses siasatan, dakwaan dan hukuman sebelum diusir ke negara asal.

“Orang ramai boleh membantu JIM dengan menyalurkan maklumat tepat mengenai PATI supaya tindakan penguatkuasaan boleh diambil,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri.

Katanya, berdasarkan Seksyen 51 Akta Imigresen 1959/63 kuasa untuk menjalankan tangkapan adalah terhad kepada pegawai imigresen, polis dan kastam sahaja.

Disiarkan pada: December 26, 2019 @ 3:19pm
d