mutakhir

Prosiding tangguh tiada jurubahasa Sepanyol [METROTV]

Oleh Hairulazim Mahmud

MAHKAMAH Majistret Putrajaya menangguhkan prosiding membabitkan kes tiga warga Peru yang sebelum ini dicekup kerana aktif mencuri barang milik pelancong asing di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur kepada 29 Januari ini.

Ia berikutan ketiga-tiga tertuduh dikenali sebagai Geng Latin Putra yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita memberitahu mahkamah secara berasingan bahawa mereka tidak memahami bahasa Melayu atau bahasa Inggeris ketika disoal jurubahasa sebelum pertuduhan dibacakan.

Sehubungan itu, Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi memohon jurubahasa Sepanyol daripada Majistret Shah Wira Abdul Halim.

Zulaaikha turut memohon majistret memberikan satu tarikh baru bagi sebutan semula kes.

Shah Wira membenarkan permohonan berkenaan dan memerintahkan jurubahasa Sepanyol disediakan pada tarikh sebutan semula kes itu manakala ketiga-tiga tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Media sebelum ini melaporkan, anggota Geng Latin Putra terbabit ditahan disyaki aktif dalam kegiatan mencuri barangan milik pelancong asing di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, penangkapan ketiga-tiga suspek diyakini berjaya menyelesaikan 15 kes termasuk di sini dan empat kes di Dang Wangi membabitkan mangsa kebanyakannya dalam kalangan pelancong warga China.

Disiarkan pada: December 26, 2019 @ 3:36pm
d