mutakhir

IWK perlu pantau lebih ketat

Oleh Nur Lela Zulkipli

KERAJAAN negeri menyarankan supaya Indah Water Konsortium (IWK) melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih ketat di kawasannya bagi mengelakkan insiden pencemaran sungai daripada berulang.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Ng Sze Han berkata, IWK juga dinasihatkan supaya menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi menangani masalah berkenaan.

“Kita tidak menyalahkan IWK atau sesiapa. Kawasan yang tercemar di Sungai Semenyih itu terletak di bawah IWK dan tiada orang jaga di situ.

“Apa yang penting, bagaimana IWK perlu meningkatkan penguatkuasaan dan bekerjasama dengan kita untuk mengelakkan insiden pencemaran daripada berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis Penyerahan Lori Kompaktor Bagi Kutipan Sampah Domestik di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan di Shah Alam hari ini.

Sze Han berkata, penguatkuasaan berkala oleh IWK akan mengurangkan risiko pembuangan sisa tercemar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita perlu fikir penyelesaian bagi mengurangkan risiko individu tidak bertanggungjawab membuang sisa tercemar ke kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan kerajaan negeri yang mahu mengambil alih IWK, Sze Han berkata, perkara itu hanya tertakluk kepada perbincangan dan keputusan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Pada 24 Disember lalu, Amirudin berkata, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd bercadang mahu menguruskan sendiri syarikat pembetungan IWK dalam usaha penyelarasan prosedur operasi standard antara dua agensi.

Piawaian kualiti bekalan air yang berbeza antara Air Selangor dan IWK menyebabkan pencemaran bau sukar dikesan awal.

Bagaimanapun, Menteri Air Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr Xavier Jayakumar berkata, operasi IWk tidak akan diserah kepada Air Selangor seperti yang diminta kerajaan negeri.

Malah, Dr Xavier menegaskan kelemahan aspek penguatkuasaan oleh kerajaan negeri antara sebab insiden pencemaran sumber air mentah berulang.

Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya pada Sabtu lalu susulan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih yang menjejaskan 348 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak 328,957 di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Disiarkan pada: December 26, 2019 @ 3:58pm
d