mutakhir

Ajal tepi sungai

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI ditemui meninggal dunia di tebing sungai kira-kira 500 meter dari rumahnya di Taman Merak, Kulim hari ini.

Saad Chin, 59, keluar memancing di sungai berhampiran namun tidak pulang ke rumah menyebabkan isterinya risau lalu menghubungi pihak berkuasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.54 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Yusri Yusoff tiba di lokasi 8.06 malam.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan dengan dibantu penduduk kampung.

“Lelaki itu ditemui tidak sedarkan diri berhampiran tebing sungai kira-kira 500 meter dari rumahnya pada 8.34 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan namun punca kematian belum dapat dipastikan.

“Mayat lelaki itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: December 26, 2019 @ 10:39pm
d