mutakhir

'Mata-mata' pelbagai rupa

Oleh Faliq Lajim

“SEPANJANG perjalanan kami di Xinjiang, kami cuba solat di masjid namun gagal. Kami dinafikan memasukinya.

“Saya difahamkan hanya orang tempatan berusia 60 tahun dan ke atas serta ada permit saja boleh memasuki masjid.

“Hampir semua rumah Allah dikawal polis dan tentera,” kata Pengerusi Pertubuhan Kembara Amal (PeKA), Khir Ariffin.

Pengalaman memasuki wilayah itu dikongsi Khir dalam perjalanannya ke Makkah untuk menunaikan haji bersama lapan rakannya menggunakan jalan darat dalam ekspedisi kembara inspirasi haji.

Perjalanan mengambil masa 40 hari dengan jarak hampir 16,000 kilometer merentasi 10 negara termasuk Thailand, Laos, China, Uzbekistan, Arab Saudi serta beberapa negara lain.

Menurutnya, walaupun pengalaman itu sudah hampir dua tahun namun dia terpanggil berkongsi pengalaman ketika berada di wilayah berkenaan.

“Kalau nak nafikan keadaan di sana kononnya tiada penindasan terhadap umat Islam Uighur di Xinjiang, kami sudah kena tempias terlebih dulu,” katanya.

Bercerita lanjut pengalamannya di wilayah itu, Khir berkata, dia serta rakan-rakannya berjaya ‘membolosi’ sebuah masjid di gurun Gobi.

“Di situ kami dapati tidak ada sebarang halangan termasuk polis yang menjaga masjid terbabit kerana terletak di pelusuk ceruk kampung.

“Apabila memasuki dan menunaikan solat di masjid itu, terus hujan. Mungkin rezeki kami dan doa musafir yang ingin solat di masjid.

“Kegembiraan kami rupanya sekejap apabila kami ditangkap selepas selesai solat. Waktu itu, tentera bersenjata termasuk polis sudah menunggu kami di luar masjid.

“Walaupun sudah terangkan niat serta tujuan kami namun kami akur apabila ditangkap dan dibawa ke balai polis,” katanya.

Khir berkata, selepas ditahan empat jam mereka didatangi ketua polis di situ yang kemudiannya meminta maaf dengan insiden yang berlaku.

“Sebenarnya kami diekori sejak memasuki sempadan China lagi. Bagaikan ada mata-mata yang menjelma dalam pelbagai rupa.

“Ada yang menyamar tukang sapu sampah, orang awam, peniaga dan pelbagai watak,” katanya.

Terdahulu, status Khir Facebook yang menceritakan pengalaman bersama rakannya yang lain ketika berada di Xinjiang tular sehingga mendapat perhatian warganet.

Disiarkan pada: December 26, 2019 @ 11:43pm
d