mutakhir

'Rindu leteran ayah'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PORT DICKSON: Kehilangan tempat bergantung bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi sekiranya segala sumber kekuatan dan tanggungan terletak kepadanya.

Begitulah nasib menimpa Mazura Maat, 41, yang bergelar balu selepas kematian suami tercinta, Ismail Talib, 50, akibat nahas jalan raya pada 13 Disember lalu.

Kejadian berlaku jam 8.30 pagi Jumaat ketika arwah yang menetap di Teluk Pelanduk, Port Dickson, dalam perjalanan ke Seremban untuk menghantar anak keduanya, Nurul Syazwani Najwa, 17, mengikuti kursus kemahiran.

Susulan kemalangan, Nurul Syazwani yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut parah.

“Saya terkilan sebab sebelum arwah keluar rumah bersama anak pada pagi kejadian, saya tidak sempat bercakap dengannya.

“Tidak lama kemudian saya dapat panggilan daripada seseorang memberitahu suami dan anak kemalangan,” katanya ketika ditemui Harian Metro pada Isnin.

Hanya selepas mendapat panggilan kedua daripada individu sama memberitahu suami dibawa ke hospital Seremban, manakala anak dibawa ke hospital Port Dickson, baru dia ‘tersedar’ berita yang diterima sebelum ini bukan main-main.

Selepas dua hari mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU), Ismail menghembuskan nafas terakhir akibat kecederaan dalaman.

Arwah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, meninggalkan Mazura dan tujuh anak berusia tujuh hingga 19 tahun.

Mazura yang menghidap penyakit darah tinggi, akui kehilangan Ismail meninggalkan kesan yang sangat mendalam ke atas mereka sekeluarga.

Apatah lagi arwah suaminya yang menggalas tugas menyediakan segala keperluan keluarga dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,500 selain bantuan kewangan daripada Baitulmal RM250.

“Ketika hayat, arwah memang kuat bekerja sehingga tidak cukup rehat. Tapi arwah tidak pernah merungut, malah sentiasa berusaha mencari sumber kewangan tambahan untuk menampung kehidupan kami tanpa meminta-minta,” katanya.

Nurul Syazwani pula memberitahu, dia yang cukup rapat dengan arwah, kehilangan seorang ayah yang sangat mengambil berat dalam soal pendidikan dan kebajikan dia dan adik-beradik lain.

“Pada hari kejadian, ayah ajak keluar awal, tapi saya meminta keluar lewat. Ketika kejadian berlaku, saya tidak sedarkan diri.

“Apabila sedar, saya nampak ayah berusaha untuk bangun walaupun keadaan dia sangat parah,” katanya menangis.

Nurul Syazwani akui ayahnya sangat pentingkan pelajaran buat anak-anak. Malah, arwah sendiri yang mendapatkan tempat untuk dia mengikuti kursus kemahiran sementara menunggu keputusan SPM.

“Kami adik-beradik rindu nak dengar ayah berleter dan merasai masakannya. Saya akan teruskan impiannya yang mahu saya belajar dalam bidang masakan,” katanya lagi.

Disebabkan ujian yang sangat berat, keluarga ini pastinya amat memerlukan keprihatinan semua terutama keperluan kewangan dan persekolahan tahun depan.

Pembaca boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Affin Islamic Bank 105280004378 atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin) atau cek kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad di Balai Berita, Bangsar.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 6:20am
d