mutakhir

Mujur tak kena patuk...

Oleh Zuliaty Zulkiffli

WANITA nyaris dipatuk ular kapak gunung yang ditemui di atas katil rumahnya di Kampung Tanjung Kanan, di Padang Terap, hari ini.

Dalam kejadian 9.20 pagi itu, wanita berusia 30-an itu dikatakan sedang mengemas bilik sebelum menyedari kehadiran reptilia itu di atas katil.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehadiran ular berkenaan pada 9.34 pagi.

Menurutnya, tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dikerahkan di lokasi diketuainya dan tiba di lokasi pada 9.47 pagi.

“Setibanya di lokasi, kita dapati ular itu bersembunyi di belakang almari baju rumah berkenaan.

“Ular itu kemudiannya berjaya ditangkap menggunakan peralatan khas, 10 minit kemudian.

“Ular kapak gunung atau nama saintifiknya Trimeresurus Monticola Convictus adalah jenis jarang ditemui dan berbisa,” katanya.

Katanya, walaupun ular itu bersaiz kecil, kesan patukan ular itu boleh mengakibatkan sel badan manusia mati dan darah akan membeku.

“Ia boleh mendatangkan bahaya jika terkena patukan ular itu.

“Orang ramai dinasihatkan jangan bertindak sesuka hati memukul atau menangkap reptilia tanpa bantuan pasukan penyelamat,” katanya.

Katanya, reptilia itu kemudiannya dibawa ke pejabat APM Padang Terap untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 11:19am
d