mutakhir

Basmi penjualan pil gugur janin dalam talian

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

MASIH ada pil gugur janin yang melanggar undang-undang dan penggunaannya membawa maut, dikesan dijual berleluasa dalam talian, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, isu penjualan pil seperti misoprostol dalam talian semakin memuncak, sedangkan ubat jenis itu tidak berdaftar dan sering disalahgunakan tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar.

Katanya, implikasi serius boleh dihidapi pengambil pil seperti rahim terkoyak, pendarahan tidak normal dan jangkitan kuman selain boleh membawa maut jika tidak dirawat.

Selain itu, pengambilan pil gugur juga boleh menyebabkan kelahiran bayi cacat sekiranya kandungan itu tidak berjaya digugurkan setelah pengambilan ubat.

“Misoprostol adalah produk tidak berdaftar yang mana, pemegang pendaftaran produk telah membatalkan pendaftaran produk itu pada November 2016, menjadikannya produk tidak sah di bawah Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan tidak dibenarkan untuk dijual di pasaran Malaysia.

“Selain Misoprostol, Mifepristone juga adalah produk tidak berdaftar yang sering disalahgunakan untuk tujuan pengguguran janin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, penjualan produk begitu melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan mengikut Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

“Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima sebanyak 51 aduan berkaitan penjualan pil gugur kandungan secara dalam talian, yang disalahgunakan untuk aktiviti pengguguran haram dan penggunaan tidak dibenarkan sepanjang 2018 hingga 2019.

“Selain itu, sebanyak 24 serbuan mensasarkan ke atas produk ini telah dilaksanakan dari 2016 hingga 2019 yang membabitkan nilai rampasan sebanyak RM95,233,” katanya.

Menurutnya, KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) juga meningkatkan kerjasama dengan pengendali platform e-dagang yang berpusat di Malaysia.

“Notifikasi dihantar kepada pengendali platform e-dagang agar menurunkan iklan berkenaan pil gugur janin.

“Sumber pembekalan pil gugur janin disyaki diperoleh secara haram melalui pembelian secara atas talian atau penyeludupan dari negara luar dan penghantaran pil gugur kepada pembeli adalah menggunakan perkhidmatan pos dan kurier.

“Untuk itu, KKM bekerjasama dengan syarikat perkhidmatan pos dan kurier dalam usaha untuk menyekat pembelian pil gugur secara dalam talian atau penyeludupan dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati sewaktu membeli produk kesihatan yang dijual secara atas talian agar tidak mudah terpedaya dengan pengiklanan dan maklumat yang disiarkan.

Katanya, semakan kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik boleh dibuat dengan melayari portal Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) iaitu www.npra.gov.my.

“Sebarang aduan berkaitan produk kesihatan dan iklan yang meragukan boleh disalurkan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan mahupun, menerusi talian 03-78413200,” katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 1:16pm
d