mutakhir

3 'hantu' rokok seludup kantoi

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PASUKAN Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok selepas menahan tiga lelaki termasuk warga Indonesia secara berasingan di Jalan Utama Kanchung Tengah, Banting semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Superintendan Zulafendy Hassan berkata, pasukannya membuat penahanan tangkapan pada 3 petang terhadap seorang lelaki warga Indonesia yang sedang berada dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit kemudiannya menemui 70 karton rokok yang dipercayai diseludup.

“Bertindak atas maklumat seterusnya, pihak kami kemudiannya menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun pada 3.30 petang di kawasan sama dalam sebuah kereta selepas didapati keadaannya mencurigakan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemui 60 karton dipercayai diseludup serta wang tunai sebanyak RM23,275.

“Susulan itu, kami menahan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 28 tahun di lokasi yang sama pada 4 petang.

“Pemeriksaan terhadap kenderaan dipandunya menemui wang tunai sebanyak RM5,688 dan 325 karton rokok pelbagai jenama yang dipercayai diseludup,” katanya.

Zulafendy berkata, polis bertindak merampas ketiga-tiga kenderaan yang digunakan kesemua individu terbabit.

“Anggaran rampasan keseluruhan berjumlah RM185,000 dan semua tangkapan serta barang rampasan dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135C Akta Kastam 1959/63,” katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 4:18pm
d