mutakhir

MBOR iktiraf mural 3D Amelia terbesar [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

MURAL penerbang wanita pertama yang terbang solo di Lautan Atlantik, Amelia Mary Earhart di dinding premis di Jalan Abdul Jalil, Taiping diiktiraf sebagai lukisan luaran 3D terbesar dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Borhan Abdul Halim berkata, lukisan dengan kelebaran 27.44 meter dan ketinggian 14.6 meter itu dihasilkan dengan kos RM280,000, tajaan syarikat swasta.

Katanya, lukisan itu siap pada 31 Ogos lalu selepas enam hari dihasilkan oleh enam pelukis profesional menggunakan cat kalis air dan cuaca dengan tujuh warna berbeza.

“Mural ini menceritakan penerbangan solo Amelia Mary yang mengelilingi dunia merentasi Lautan Atlantik pada 1937, serta menjadikan Lapangan Terbang Tekah di Taiping yang juga lapangan terbang pertama Asia Tenggara sebagai lokasi persinggahannya untuk mengisi bahan api sebelum hilang tanpa dikesan sehingga sekarang.

“Malah, MPT sentiasa mengalu-alukan tajaan mana-mana pihak yang ingin memperindahkan lagi bandar Taiping melalui lukisan mural, tetapi ia mestilah tidak lari daripada sejarah dan warisan yang bandar ini sejak penubuhannya pada 1874,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pengisytiharan itu, hari ini. Wakil MBOR Edwin Yeoh Teong Chin dan Tan Chuin Siang hadir menyampaikan pengiktirafan berkenaan.

Dalam pada itu, katanya, kerja mengindahkan bandar menerusi mural pada dinding di bawah pentadbiran MPT mendapat tajaan pihak swasta, selain pihak persendirian dan kerjasama institusi pengajian awam.

Malah Borhan berkata, MPT kini dalam rundingan dengan Jabatan Penjara untuk projek melakar mural sepanjang 670 meter di dinding luar Penjara Taiping.

“Kita bercadang menghias dinding itu dengan wajah atlet yang berasal dari Taiping dan pernah mengharumkan nama negara, dan ia dijangka jadi mural terpanjang untuk tatapan orang ramai.

“Perojek ini termasuk antara 12 projek lukisan mural yang ingin kita siapkan dalam tempoh enam bulan pertama 2020, yang mana separuh atau enam daripadanya bakal disiapkan dalam tiga bulan,” katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 4:56pm
d