mutakhir

Polis cedera dilibas lelaki tak siuman [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

ANGGOTA Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Kuantan, cedera selepas dilibas lelaki kurang siuman menggunakan parang di pekarangan Masjid Sultan Ahmad 1, Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, anggota polis berkenaan menerima maklumat mengenai lelaki berusia 40 tahun yang bertindak agresif dengan memegang parang sambil mengetuk besi jejantas di Jalan Besar.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, suspek yang tidak berpakaian kemudian melarikan diri ke kawasan masjid dan anggota URB itu cuba menenangkannya.

“Bagaimanapun, suspek bertindak mencederakan dirinya sebelum anggota cuba menghampiri untuk menenangkannya.

“Malangnya, anggota polis itu telah dilibas menggunakan parang berkenaan dan libasan terkena topi keledar dan lengan kanan hingga cedera.

“Suspek juga cuba menyerang mangsa berkali-kali tetapi mangsa menjarakkan diri demi keselamatannya dan orang ramai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Noor berkata, suspek kemudian melarikan diri hingga ke Jambatan Tanjung Lumpur dan membuang parang yang digunakannya ke dalam sungai.

Katanya, dia berjaya ditangkap dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi mendapatkan rawatan.

“Kita sedang mengesan ahli keluarga suspek untuk maklumat lanjut dan suspak akan ditahan bagi membolehkannya menjalani rawatan mental dan tidak dibebaskan dalam masa terdekat,” katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 5:15pm
d