mutakhir

Tinggal memorandum dalam peti surat [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

MEMORANDUM bantahan kepada Kedutaan China di Malaysia berhubung isu penindasan terhadap etnik Uighur di negara itu, ditinggalkan di dalam peti surat kedutaan berkenaan.

Ia susulan kedutaan itu menolak untuk menerima memorandum terbabit yang dihantar Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Global Peace Mission (GPM), Persatuan Kebangsaan Penuntut Islam Malaysia (PKPIM) dan Federasi Penuntut Muslim Asia Tenggara (PEPIAT) dan Hizbut Tahrir.

Presiden ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, sebelum memorandum itu diserahkan, pihaknya dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sudah menghubungi kedutaan itu namun, tidak menerima jawapan balas.

“Jadi, kita tinggalkan memorandum di dalam peti surat di depan Kedutaan China untuk tindakan lanjut.

“Ini kali kedua, memorandum kami tidak diterima oleh mana-mana wakil kedutaan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, kira-kira 700 individu berarak dari Masjid Ibnu Marsud, Jalan Damai dan dari Tabung Haji, Jalan Ampang menuju ke Kedutaan China untuk menyerahkan memorandum itu.

Mereka kemudian berkumpul di Lorong Nibong untuk menyuarakan bantahan terhadap penindasan etnik Uighur di China.

Muhammad Faisal berkata, antara kandungan memorandum adalah meminta Kerajaan China menghormati hak asasi etnik Uighur.

“Selain itu, kami meminta Kerajaan China menghentikan penindasan ekstrem. Kerajaan China juga diminta menutup kem di Xinjiang yang mana ratusan ribu etnik Uighur ditindas oleh pihak berkuasa itu.

“Mereka juga perlu menghormati dan memelihara kebebasan beragama kerana etnik Uighur juga berhak mendapat layanan sama.

“Kerajaan China perlu menghentikan program dianjurkan untuk tujuan normalisasikan penindasan di Xinjiang seperti sambutan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik China-Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 5:28pm
d