mutakhir

RON97 naik 5 sen, RON95 dan diesel kekal

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

HARGA runcit petrol RON97 naik lima sen kepada RM2.63 seliter manakala RON95 dan diesel kekal pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter mulai tengah malam ini.

Kementerian Kewangan menerusi kenyataan di Putrajaya hari ini berkata, harga runcit produk petroleum itu adalah bagi tempoh 28 Disember hingga 3 Januari nanti.

“Berdasarkan pengiraan mengikut formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya masing-masing adalah sebanyak RM2.33 seliter dan RM2.39 seliter

“Ia menunjukkan kenaikan berbanding minggu lalu bagi harga runcit petrol RON95 yang berada pada paras RM2.28 seliter, manakala penurunan bagi harga runcit diesel yang berada pada paras RM2.34 seliter.

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat,” katanya.

Tambah kenyataan itu, dengan pengekalan harga runcit bagi RON95 dan diesel, anggaran subsidi yang perlu ditanggung kerajaan bagi tempoh 28 Disember hingga 3 Januari 2020 adalah berjumlah RM117.06 juta.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 5:43pm
d