mutakhir

Perintah mahkamah batal persidangan Dong Zong

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS mendapat perintah mahkamah melarang Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) meneruskan Persidangan Membantah Isu Tulisan Jawi di Kolej New Era di Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, permohonan bagi mendapatkan perintah itu dibuat pada 3 petang dan diserahkan kepada pihak Dong Zong kira-kira 5 petang, hari ini.

“Banyak laporan polis diterima di seluruh negara berhubung persidangan itu yang dijadualkan esok.

“Jadi, bagi mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam, kita memohon perintah mahkamah ini atas dasar untuk mengelak berlakunya gangguan yang boleh mencetuskan kegusaran orang ramai di Kajang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyeru kepada semua pihak dan orang ramai supaya tidak hadir ke persidangan itu atau mana-mana perhimpunan yang dianjurkan oleh persatuan bukan kerajaan (NGO) sebagai tanda protes.

“Kami menyeru semua pihak supaya menghormati undang-undang dan perintah mahkamah. Polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada pihak yang enggan mematuhi undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, Dong Zong dilapor bertegas mahu menganjurkan persidangan itu di Kolej New Era meskipun mendapat tentangan pelbagai pihak.

Persidangan berkenaan dijadualkan pada 1 tengah hari esok.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi, memaklumkan perhimpunan bagi membantah persidangan Dong Zong yang dijadual di Stadium Kajang, esok tidak memperoleh permit.

“Kami ada menerima permohonan permit daripada penganjur perhimpunan itu, namun permohonannya didapati tidak memenuhi syarat.

“Sekiranya perhimpunan itu tetap diteruskan, maka ia diklasifikasikan sebagai tanpa permit,” katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 6:15pm
d