mutakhir

Sekelip mata tinggal sehelai sepinggang [METROTV]

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

“SAYA melihat api menyambar hadapan rumah saya sebelum mengarahkan anak dan cucu keluar menyelamatkan diri.

“Saya juga keluar ke rumah jiran dan cuba memadamkan api dengan menggunakan air paip tetapi keadaan api yang agak besar menyukarkan kami,” kata Mariani Awang, 58.

Mariani adalah mangsa kebakaran membabitkan lima rumah dalam kejadian di Kampung Padang Bongor di Kota Bharu, 1.30 tengah hari, hari ini.

Dalam kebakaran itu, Mariani sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, manakala empat kediaman lain masing-masing musnah di antara lima sehingga 60 peratus.

Menceritakan kebakaran itu, Mariani berkata, kejadian itu berlaku selepas dia selesai solat Zohor sebelum keluar ke hadapan rumah dan melihat api.

“Saya dengar bunyi letupan kecil dan melihat api terus menyambar bahagian hadapan rumah. Tanpa berlengah kami terus keluar rumah.

“Saya hanya sempat menyelamatkan sebuah beg yang mengandungi kad pengenalan.

“Dua kereta milik anak dan menantu iaitu Proton Persona dan Perodua Kancil turut hangus.

“Saya tidak tahu berapa jumlah kerugian yang dialami,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, dia reda dengan kejadian itu dan buat sementara akan menumpang di rumah menantunya di Taman Sari, Kota Bharu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Negeri Kelantan, Mohd Wildan Azhari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.04 petang.

Katanya, seramai 43 anggota, termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu; Pengkalan Chepa; Kota Darul Naim, Tunjung dan Pasukan Bomba Sukarela Kota Bharu ke lokasi kejadian.

“Kami mengambil masa setengah jam untuk mengawal kebakaran dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 7:46pm
d