mutakhir

Kanak-kanak, bayi terima vaksin polio

Oleh Recqueal Raimi

LEBIH 1,000 kanak-kanak termasuk bayi di perumahan Taman Telipok Ria, Tuaran, menerima imunisasi tambahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha menghentikan penularan virus polio, hari ini.

Majlis Pelancaran Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) 2019/2020 yang diadakan di Dewan Komuniti perumahan terbabit diadakan bermula 10 pagi sehingga jam 6 petang hari ini.

Penduduk, Sarifah Masitah Abdul Razak, 38, yang menetap sejak lima tahun lalu di perumahan itu berkata, pada awalnya dia tidak mengetahui jangkitan virus polio berlaku di Tuaran sebelum ini.

“Pada awalnya, saya tidak mengambil tahu kepentingan vaksin polio ini disebabkan tidak mengetahui berita kanak-kanak yang dijangkiti di daerah ini.

“Namun, sebaik dimaklumkan suami mengenai bahaya jangkitan virus itu, saya segera menghantar dua anak perempuan yang masing-masing berusia satu dan lima tahun untuk mendapatkan vaksin.

“Malah, ia diperoleh dengan percuma jika dibandingkan perkhidmatan di hospital,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Aisyah Murphy, 34, turut menghantar dua anak perempuannya yang berusia lapan tahun dan sembilan bulan untuk mendapatkan vaksin itu.

“Saya menghantar kedua-dua anak saya pada 4.30 petang untuk menjalani vaksin polio serta tambahan imunisasi dan ia hanya mengambil masa lima minit, termasuk pendaftaran.

“Perkhidmatan ini percuma dan jika dibandingkan di hospital, kami perlu membayar sebanyak RM40 untuk seorang anak,” katanya yang berasal dari Semporna.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, KKM dan agensi berkaitan menjalankan perancangan rapi dan pemberian imunisasi di seluruh Sabah dari semasa ke semasa mengikut lokasi yang sesuai.

“Program ini bertujuan memberi imunisasi kepada kanak-kanak yang tercicir imunisasi di lokasi kes polio dan berhampiran untuk mencegah virus itu merebak.

“Kaedah ini adalah cara terbaik mencegah penyakit polio adalah melalui imunisasi kerana penularan virus itu tidak mengenal sempadan,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi.

KKM sebelum ini mengesahkan bayi lelaki berusia tiga bulan dari sebuah kampung di Tuaran, Sabah, dijangkiti virus polio, menjadi kes pertama selepas 27 tahun Malaysia bebas dari penyakit itu.

Photo caption:

1)Penduduk, Sarifah Masitah Abdul Razak. (tudung warna-warni)

2) Penduduk, Aisyah Murphy (tudung hitam)

3) Menteri Kesihatan Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung

4) Pengarah Kesihatan Sabah, Dr. Christina Rundi.

5. SEBAHAGIAN kanak-kanak yang menerima imunisasi polio.

Tamat

From: Norasikin

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 8:02pm
d