mutakhir

Dua penjawat awam suspek geng penyeludup

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

DUA penjawat awam antara lapan lelaki ditahan bersama 12,600 karton rokok, pistol Glock 19C, peluru hidup dan enam kenderaan dengan nilai rampasan RM2.17 juta dalam serbuan di Klang, Selangor, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, serbuan dilakukan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (PGK) JKDNKA Bukit Aman itu rentetan kejayaan Op Asap di Tapah, Perak pada 23 Disember lalu.

Menurutnya, suspek ditahan itu berusia 20 hingga 49 tahun dan salah seorang penjawat awam itu turut memiliki sepucuk pistol Glock 19C dan satu kelopak peluru berisi 10 butir peluru hidup.

“Enam kenderaan dirampas terdiri daripada Honda City, Perodua Myvi, Perodua Axia, Proton Saga FL dan Proton Persona dan sebuah lori.

“Semakan mendapati rokok seludup itu menggunakan setem pembayaran duti kastam disyaki palsu.

“Mereka direman selama 10 hari bermula hari ini mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 8:30pm
d