mutakhir

Rokok seludup RM2.8 juta dirampas

Oleh Muhammad Apendy Issahak

POLIS merampas 23,800 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM2.8 juta dalam serbuan di Kilometer 318.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Tapah, semalam melalui Op Asap.

Kejayaan itu adalah yang kedua dalam tempoh tiga hari di daerah Tapah dengan rampasan pertama dilakukan Selasa lalu membabitkan 28,850 karton rokok seludup dianggar bernilai RM4.3 juta dalam serbuan di sebuah gudang di Jalan Station, Tapah, 10.30 malam.

Dalam rampasan terbaru, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pada 4.40 petang semalam hasil maklumat dan risikan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya bertindak mengekori empat lori yang berkonvoi dari Kilometer 318.7 hingga ke Kilometer 323.3 sebelum menahan keempat-empat kenderaan itu.

“Hasil pemeriksaan menemui 23,800 karton seludup yang semakan mendapati menggunakan setem kastam palsu yang keseluruhan rokok itu dianggarkan bernilai RM2.8 juta.

“Keempat-empat pemandu lori berusia 26 hingga 39 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan dan semakan mendapati tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah,” katanya dalam sidang media di IPD Tapah hari ini.

Menurutnya, kesemua tangkapan kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 2 Januari depan dan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.

“Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada kedua-dua rampasan mempunyai kaitan.

“Siasatan awal mendapati sindiket penyeludupan ini dipercayai menyeludup rokok dari negara jiran melalui negeri di pantai timur sebelum dibawa menggunakan lori untuk diedarkan di negeri di utara tanah air,” katanya.

Wan Azharuddin memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai jenayah dan aktiviti penyeludupan agar menghubungi IPD Taoah di talian 05-4015222 atau sms Rakan Cops 32728 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: December 27, 2019 @ 9:04pm
d