mutakhir

Kelantan tak haramkan arak untuk bukan Islam

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

KERAJAAN Kelantan masih membenarkan orang bukan Islam minum minuman keras dalam premis mereka di negeri itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan tiada pengharaman jualan minuman keras di negeri ini kepada bukan Islam, tetapi ia dikawal mengikut keperluan.

Beliau berkata, pada masa sama lesen penjualan arak di premis dan restoran juga masih dikeluarkan dan dikekalkan kepada mereka yang bukan Islam.

“Kerajaan PAS Kelantan hanya mengeluarkan lesen arak menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut keperluan selain mendapat sokongan daripada wakil rakyat yang berkaitan.

“Kita perlu faham pemberian lesen minuman keras ini mempunyai dua kategori iaitu lesen premis jualan dikeluarkan oleh kerajaan negeri melalui PBT iaitu di restoran yang dibenarkan dan yang kategori kedua pula dikeluarkan oleh kerajaan pusat.

“Orang bukan beragama Islam hanya dibenarkan minum minuman keras di premis yang dibenarkan untuk menghidang serta menjualnya sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Back To School Gunting Rambut Percuma Antara Kaum di Dataran Cheng Ho, Jalan Kebun Sultan, di Kota Bharu, semalam.

Katanya, ia tidak menjadi masalah kerana orang bukan Islam di Kelantan menghormati orang beragama Islam serta menunjuk sikap toleransi antara kaum.

“Walaupun di kedai terbabit dibenarkan jual minuman keras, namun apabila pelanggan beragama Islam bercampur dengan bukan Islam, minuman keras tidak dihidangkan secara terbuka.

“Mereka tetap menghormati antara satu sama lain, dan saya tidak nampak ia satu masalah serta menyekat hak orang bukan Islam di negeri ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2019 @ 9:14am
d