mutakhir

Dua kedai roti diarah tutup

Oleh Zuhainy Zulkiffli

DUA premis menjual roti termasuk kedai roti canai popular di Georgetown, diarah tutup, selepas dapurnya didapati tercemar dengan najis tikus dan lipas.

Arahan itu dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas dua kedai berkenaan, masing-masing di Jalan Datuk Keramat dan Jalan Transfer, diperiksa oleh semasa Ops Penutupan Premis .

Pada operasi berkenaan, kakitangan MBPP turut menemui bebenang dalam dalam adunan roti di salah sebuah kedai berkenaan.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan, M Bawani berkata, arahan penutupan itu berikutan keadaan kedua-dua premis yang tidak mematuhi tahap kebersihan ditetapkan.

Katanya, kedua-dua premis itu diperintahkan tutup selama 14 hari bermula 24 Disember hingga 6 Januari dan dibenarkan beroperasi semula selepas kerja pembersihan.

“Najis tikus dan lipas yang ditemui di dapur kedua-dua premis berkenaan menunjukkan kehadiran makhluk perosak yang dikhuatiri boleh menyebabkan pencemaran makanan.

“Bendasing atau bebenang yang ditemui dalam bekas mentega juga boleh menyebabkan pencemaran silang,” katanya.

Perintah penutupan itu dilakukan mengikut peraturan MBPP di bawah Seksyen 38 (1) Undang-undang Kecil Perundangan Makanan 1991.

Menurut Bawani lagi, dalam operasi itu, pemilik premis turut dinasihatkan supaya melakukan kawalan serangga terhadap tikus dan lipas bagi mencegah masalah berkenaan.

Katanya, operasi terbabit adalah yang kelima dijalankan sejak MBPP diberi kuasa bagi menutup premis yang tidak mematuhi undang-undang.

“Sehingga kini, sebanyak 13 premis sudah diperintah tutup sejak operasi berkenaan dijalankan.

“Orang ramai khususnya pemilik premis yang mahu mengetahui prosedur operasi standard kami (SOP), boleh layari laman web MBPP bagi mendapatkan pemahaman yang lebih baik,” katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2019 @ 11:43am
d