mutakhir

38 GRO asing ditahan [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 38 warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam Operasi Noda di sebuah pusat hiburan tidak berlesen di Jalan Perak, di Kuala Lumpur, hari ini.

Serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur yang diketuai Pegawai Turus Bahagian D7 Kuala Lumpur Deputi Superintendan Ana Mohamed, jam 12.15 tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, hasil serbua, pihaknya menahan 38 GRO warga asing berusia antara 19 hingga 30 tahun dan enam lelaki yang bekerja di premis berkenaan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 18 wanita warga Ukraine, 11 wanita warga Russia, tiga wanita warga Kazakhstan, tiga wanita warga Belarus serta masing-masing seorang wanita dari Jerman, Britain dan Thailand.

“Selain itu, kami turut menahan seorang lelaki tempatan yang juga pengurus, seorang lelaki warga Iran dan empat lelaki Bangladesh bekerja di premis itu.

“Pada masa sama, kami turut melakukan pemeriksaan terhadap lapan pelanggan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rusdi berkata, semua individu yang ditahan akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39(b) akta sama.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan tidak bermoral dan diminta menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999,” katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2019 @ 1:07pm
d