mutakhir

TKHM bantu murid kurang berkemampuan

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

MENYELAMI kepayahan masyarakat menghadapi masalah ekonomi mendorong Harian Metro menganjurkan program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2019 Kembali Ke Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Undang, Marang, hari ini.

Lebih 150 murid dalam kalangan golongan kurang berkemampuan termasuk asnaf dan keluarga petani serta golongan B40 diraikan.

Kesemua penerima terdiri daripada murid SK Bukit Payong, SK Paya Resak, SK Gong Balai, SK Rendang dan SK Merchang dan SK Undang dibawa ke pasar raya Mydin Kuala Terengganu untuk membeli barangan kelengkapan persekolahan.

Pengerusi Program TKHM Husain Jahit berkata, penganjuran TKHM bersesuaian dengan konsep akhbar Harian Metro yang sentiasa dekat dan menyelami kesusahan masyarakat.

“TKHM secara tidak langsung meringankan ibu bapa dalam menyediakan barangan kelengkapan sekolah bagi menghadapi sesi persekolahan baru tidak lama lagi.

“Kami teruja apabila dapat membantu golongan yang memerlukan itu seterusnya menunjukkan keprihatinan Harian Metro terhadap keperluan masyarakat.

“Bukan saja menulis dan melaporkan kepayahan masyarakat yang memerlukan tetapi Harian Metro mengambil pendekatan untuk turun sendiri memberi sumbangan,” katanya ketika ditemui pada Program TKHM di SK Undang, hari ini.

Husain berkata, program TKHM menjadi lebih lancar dan meriah dengan tajaan utama jenama minuman kegemaran ramai iaitu MILO.

“Penyertaan MILO dalam memberi penajaan membuatkan TKHM yang dianjurkan lebih memberi keceriaan kepada penerima sumbangan.

Kejayaan program TKHM kali ini membuatkan program kemasyarakatan itu akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penajaan dan Persampelan MILO Zon Timur, Awang Abdullah berkata, pihaknya berasa sangat bertuah kerana dapat menyertai program TKHM seterusnya membantu golongan yang memerlukan.

“Kita sedar keperluan golongan yang memerlukan dalam menyediakan segala kelengkapan persekolahan anak sebelum bermulanya musim persekolahan yang baru.

“MILO yang selama ini sentiasa menjadi pilihan serta dekat dengan masyarakat mengambil langkah proaktif bagi membantu golongan yang memerlukan menerusi program berkenaan,” katanya.

Menurutnya, program pertama kali disertai MILO bersama TKHM itu mencapai matlamat dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Seronok melihat keceriaan di wajah penerima sumbangan, mereka sangat teruja memilih segala kelengkapan sekolah yang baru,” katanya.

Titipan Kasih TKHM Kembali ke Sekolah adalah program tanggungjawab sosial (CSR) akhbar Harian Metro yang bermatlamat membantu golongan yang memerlukan dan ia dianjurkan dengan kerjasama MILO di SK Undang, Marang.

Disiarkan pada: December 28, 2019 @ 3:07pm
d