mutakhir

Kongres Jawi Kebangsaan, polis tidak terima laporan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS tidak menerima sebarang laporan berhubung penganjuran Kongres Jawi Kebangsaan yang akan diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya, esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kongres berkenaan.

“Mana-mana penganjuran majlis di dalam dewan tidak memerlukan notis. Berbeza dengan penganjuran di Kajang kerana polis menerima 43 laporan di Selangor.

“Sebab itu kita menambah kawalan keselamatan kerana khuatir terdapat ancaman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, satu poster berhubung penganjuran kongres yang akan diadakan di Petaling Jaya tular selepas Mahkamah mengarahkan larangan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) meneruskan Persidangan Membantah Isu Tulisan Jawi di Kolej New Era di Kajang, hari ini.

Berdasarkan poster yang diedarkan itu, kongres berkenaan akan diadakan di sebuah hotel dan bermula pada 10.30 pagi.

Kongres berkenaan akan dihadiri Kolumnis Sosial, Profesor Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi; Aktivis sosial, Siti Kasim; Setiausaha Gabungan SEKAT Nasional, Arun Dorasamy dan Wakil Sekolah Kebangsaan Jenis Tami Thayalan.

Semalam, polis mendapat perintah mahkamah melarang Dong Zong meneruskan Persidangan Membantah Isu Tulisan Jawi yang dirancang berlangsung di Kolej New Era.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dilaporkan berkata, permohonan bagi mendapatkan perintah itu dibuat pada 3 petang semalam sebelum diserahkan kepada Dong Zong.

Susulan itu, Gabungan NGO Melayu Islam Bangkit menangguhkan Himpunan Pertahan Jawi yang sepatutnya diadakan di Stadium Kajang, hari ini.

Wakil Gabungan NGO Melayu Islam Bangkit, Masridzi Sat dilaporkan berkata, perhimpunan terbabit tidak dapat dilakukan atas nasihat daripada polis.

Disiarkan pada: December 28, 2019 @ 3:36pm
d