mutakhir

Wanita kesepian mudah jadi mangsa cinta Internet

Oleh Hairulazim Mahmud

“RAMAI wanita yang terkena penipuan atau cinta Internet adalah yang yang keseorangan atau hidup bersendirian,” kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebahagian besar mereka yang termakan kata-kata manis pemangsa di Internet adalah yang celik teknologi.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, bahkan bukan saja wanita malah lelaki juga ada yang menjadi mangsa namun mereka tidak tampil membuat laporan.

“Sebahagian besar yang terkena penipuan Internet dan ‘love scam’ ialah wanita.

“Wanita yang berasa keseorangan, bersendirian, tapi lelaki juga ada ditipu tapi mereka tidak laporkan,” kata beliau semasa merasmikan Festival Putrajaya LIFT (Celik Teknologi Kewangan) 2019 di sini, hari ini.

Festival berkenaan bermula hari ini sehingga Isnin bertempat di tiga lokasi iaitu di Menara Perkeso @ Putrajaya, Bangunan Suasana PjH, dan kompleks kementerian di sini.

LIFT 2019 mempamerkan literasi mengenai teknologi kewangan pada masa kini dan hadapan serta memberi inspirasi serta maklumat yang relevan lagi praktikal terhadap pemerkasaan kewangan teknologi dan digital.

Sebelum ini rekod kementerian mendapati, sebahagian besar mangsa kes penipuan Macau Scam dan African Scam yang berlaku di negara ini adalah golongan wanita.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini saja, sebanyak 1,911 kes Macau Scam direkodkan dan daripada jumlah itu sebanyak 1,109 kes membabitkan mangsa wanita.

Sementara untuk kes Afrika Scam pula, daripada 1,303 kes yang dicatatkan pada tempoh yang sama, sebanyak 1,070 kes turut membabitkan golongan itu.

Sindiket terbabit biasanya akan menghubungi mangsa dan memaklumkan perkara yang boleh menyebabkan ketakutan pada kaum Hawa seperti mendakwa mereka terbabit dalam jenayah, mempunyai tunggakan hutang atau saman.

Disiarkan pada: December 28, 2019 @ 4:29pm
d