mutakhir

Tak lelah didik anak genius

Oleh Baharom Bakar

“KAMI tidak menghadapi masalah menjaga dan mendidik dua anak genius, walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tinggi menyediakan barang keperluan, termasuk buku diminati,” kata Azriza Abd Latif, 43.

Azriza yang berkerja di sebuah syarikat petroleum berkata, dua anaknya Mohamad Amir Rafiq Mohd Rafee, 15 dan Aina Batrisyia, 13, tidak sedikitpun membebankan, malah bersyukur kerana anaknya mampu mengharumkan nama negara dalam pelbagai pertandingan, terutama dalam bidang kajian di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, kesabaran melayani dan memenuhi pelbagai kerenah dua anaknya adalah kunci utama kecemerlangan anaknya, terutama Mohamad Amir yang berjaya mengharumkan nama negara pada pertandingan menulis esei falsafah dalam International Philosophy Olympiad 2019 di Rome, Itali, Mei lalu.

“Banyak kerenah terpaksa dilalui termasuk membeli buku yang diminati Mohamad Amir dan Aina Batrisya yang kini belajar di Pusat Permata Pintar Negara di UKM, Bangi,” katanya.

Azriza berkata demikian ketika ditemui pada program Seminar Kaedah Penyelidikan Untuk Anak-Anak Genius dan hari temu mesra Persatuan Kebajikan Keluarga Pelajar Pintar Terengganu (GEN-T) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi GEN-T negeri, Zamri Mohamad dan Timbalan Pengarah Kolej Genius Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Rorlinda Yusof.

Azriza menjelaskan, antara perbelanjaan tinggi dikeluarkan adalah untuk membeli bahan bacaan termasuk pelbagai jenis buku kepada Mohamad Amir Rafiq dan Aina Batrisyia.

“Kami membelanjakan kira-kira RM1,000 untuk membeli bahan bacaan kepada Mohamad Amir Rafiq dan Aina Batrisyia setiap bulan.

“Mereka berdua cepat membaca dan memahami pelbagai tajuk buku dibeli,” katanya.

Menyingkap kehidupan seharian Mohamad Amir Rafiq dan Aina Batrisyia ketika berusia antara dua dan lima tahun, Azriza berkata, mereka kurang bergaul dengan rakan sebaya, selain mempunyai daya pemikiran yang tinggi.

“Kedua-dua beradik itu juga mudah merajuk jika dimarahi, tetapi cepat mesra dengan saya dan bapa merea (Mohd Rafee Harith, 50),” katanya.

Ends

From: Mohd Aizat

Disiarkan pada: December 28, 2019 @ 6:18pm
d