mutakhir

Bekalan bawang cukup

Oleh Siti Sofia Md Nasir

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan bawang mencukupi, termasuk ketika sambutan Tahun Baharu Cina, tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini kerajaan mengimport bawang daripada tiga negara, selepas pembekal bawang terbesar negara iaitu India, terpaksa menghentikan import atas beberapa faktor.

“Sekarang ini kita mengimport bawang dari negara Belanda, China, dan Pakistan, itu menjamin bekalan bawang kita mencukupi sehingga musim perayaan nanti.

“Bagaimanapun, hasil tinjauan KPDNHEP mendapati ‘trend’ kenaikan harga bawang ini bermula ketika bawang dibawa masuk ke negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri Program Kembali Ke Sekolah bersama Tesco di Tesco Seberang Jaya, hari ini.

Saifuddin berkata, pihaknya juga mengambil maklum terhadap laporan BH yang menyiarkan mengenai ancaman penyeludupan bawang yang didakwa berlaku di sempadan Malaysia dan Thailand.

“Saya sudah pun beri arahan kepada pegawai terbabit supaya meneliti laporan BH dan melakukan penyiasatan, kerana hanya BH yang melaporkannya,” katanya.

BH semalam melaporkan, bekalan bawang mudah ditemui di pekan Padang Besa (sempadan Malaysia-Thailand) sehingga berlaku lambakan terhadap barang runcit itu.

Penjualan bawang merah dari Malaysia itu menimbulkan tanda tanya kerana ketika berlaku kekurangan bekalan di kebanyakan negeri, kawasan sempadan dan di Thailand pula mempunyai lebihan stok.

Sebelum ini, pengguna di beberapa negeri merungut apabila harga bawang merah India yang biasanya dijual pada RM4 sekilogram kini mencecah RM16 sekilogram.

Disiarkan pada: December 28, 2019 @ 6:38pm
d