mutakhir

Istimewanya kuih cecemek

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

KUIH cecemek antara makanan warisan Perak yang semakin kurang dikenali generasi muda sehingga ada yang tidak mengetahui kewujudan pemanis mulut itu.

Malah, ada menyamakan kuih yang popular di Perak Tengah terutama di Kampung Pasir Salak dan Kampung Gajah itu dengan kuih sampan atau kuih limas kerana mempunyai bentuk sama.

Pembuat kuih cecemek, Hashimah Yon Abdul Talib, 55, berkata, cecemek berbeza dengan kuih sampan kerana menggunakan adunan tepung dan penyediaan yang berbeza.

Menurutnya, kuih cecemek menggunakan tepung pulut dan sedikit tepung gandum yang dibulatkan kecil dengan membuat lubang di tengah.

“Doh kecil diletakkan dalam bekas yang dibuat daripada daun pisang dan diletakkan gula serta bancuhan santan yang kemudian dikukus.

“Rupa dan bentuknya saja seperti kuih sampan tetapi ia mempunyai kelainan yang tersendiri dan boleh dianggap kuih warisan Kampung Gajah,” katanya ketika ditemui pada Temasya Budaya@Pasir Salak di Kompleks Sejarah Pasir Salak, semalam.

Program anjuran Majlis Kebudayaan Negeri Perak bersama Jabatan Muzium Perak dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak yang berlangsung kelmarin hingga hari ini turut menampilkan juadah tradisional lain seperti bubur anak lebah, putu perak, kuih limas dan anak dara dua sebilik.

Katanya, lebih istimewa kuih cecemek boleh dianggap kuih yang dirindui dan ditunggu-tunggu kerana hanya dibuat serta dijual pada Ramadan.

“Boleh dikatakan hampir setiap rumah di sini akan ada kuih cecemek sebagai juadah berbuka puasa tetapi sekarang walaupun bukan Ramadan sudah ada yang jual namun tidak ramai.

“Cecemek kuih lama yang tetap digemari penduduk sekitar namun ada juga yang tidak mengenali kuih ini dan menyangka ia sama dengan kuih sampan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Majlis Kebudayaan Negeri Perak merangkap Penyelaras Acara Program, Shahnoor Zahurin Mohd Haslan Maiyuddin berkata, program turut diserikan dengan permainan tradisional, persembahan seni budaya dan sejarah serta aktiviti lain.

“Turut diadakan slot teater sejarah Pasir Salak selain mengembalikan permainan tradisional seperti terompah gergasi, tuju tin, laga ayam iaitu dua kaki individu diikat bersama untuk menguji ketahanan berdiri, batu seremban, congkak dan gasing selain budaya semasa menuai padi iaitu belotah.

“Kami mahu memeriahkan Kompleks Sejarah Pasir Salak dan ini juga membantu mengembalikan nostalgia lama supaya generasi baru dapat mengenalinya dan tidak ditelan zaman,” katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2019 @ 12:32pm
d