mutakhir

Sheikh Ahmed al-Raissouni dilantik Profesor Pelawat UniSZA

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

KETUA Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Sheikh Prof Dr Ahmed al-Raissouni dilantik sebagai Profesor Pelawat Fakulti Pengajian Kontemporari Islam di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, beliau secara peribadi mempelawa tokoh terkenal itu untuk menjadi profesor pelawat di fakulti terbesar dan tertua di UniSZA namun sering tertangguh kerana kesibukannya sebagai Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia dan profesor di fakulti syariah di sebuah universiti di Doha, Qatar.

“Selepas enam bulan, akhirnya usaha membawanya ke UniSZA berjaya direalisasikan dengan persetujuan beliau untuk menjayakan aktiviti yang disenaraikan kepadanya bermula 25 Disember lalu hingga 9 Januari 2020,” katanya.

Beliau berkata, kedatangan Dr Ahmed al-Raissouni itu satu kejayaan yang sangat bermakna kepada seluruh warga UniSZA.

“Ini kunjungan pertama beliau di Malaysia dan kehadirannya memberi impak yang besar kepada warga UniSZA dan masyarakat kerana beliau membawa pendekatan maqasid syariah sebagai satu mekanisme praktikal dalam menjamin kelestarian universiti sebagai sebuah pusat pembinaan peradaban insan.

“Idea yang diketengahkan beliau juga akan diwacanakan dan dibukukan bagi melonjakkan pencapaian UniSZA serta menjayakan misi pendidikannya ke arah melahirkan insan holistik dengan nilai terpuji selaras dengan visi UniSZA iaitu Universiti Islam Integrasi Kontemporari,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Prof Dr Abdul Hakim Abdullah berkata, pelbagai aktiviti disusun untuk dimanfaatkan warga UniSZA dan masyarakat setempat.

“Syarahan yang disampaikan Dr Ahmed al-Raissouni dilengkapi dengan terjemahan dan dikongsi melalui media sosial.

“Selain daripada semakan dan pemantapan kurikulum FKI, Dr Ahmed al-Raissouni turut menjayakan beberapa aktiviti ilmiah yang lain seperti kuliah umum, penyampaian khutbah, wacana usul fiqh, bedah kitab, dan bengkel metodologi bersama siswazah,” katanya.

Menurutnya, Dr Ahmed al-Raissouni turut mengadakan sesi mini muzakarah bersama para ilmuan Terengganu anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) selain pertemuan dengan Mufti Negeri Terengganu, Datuk Dr Zulkifli Muda.

“Dalam kesibukan menjayakan aktiviti ilmiah yang disusun itu, tokoh terkenal itu turut mengadakan kunjungan hormat menemui Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan menemui rakan lama beliau ketika bersama menjawat Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2019 @ 2:32pm
d