mutakhir

Masih pantau walau bebas sisa kimia

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan meneruskan pemantauan ke atas anak Sungai Belihoi di Mantin, Seremban yang berlaku pencemaran akibat pembuangan bahan dipercayai mengandungi sisa kimia.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, kerja pembersihan sungai itu sudah dilakukan pada Rabu dan Khamis, sebelum anak sungai itu disahkan bebas pencemaran.

“Bagaimanapun, JAS bersama agensi berkaitan lain tetap melakukan pemantauan bagi memastikan keadaan di sungai itu benar-benar selamat, terutamanya kepada orang awam.

“Malah JAS masih meneruskan siasatan berhubung pembuangan haram itu termasuk mengenal pasti pihak terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Veerapan berkata, JAS sudah menghantar sampel air sungai dan sisa buangan ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk dianalisis.

Setakat ini katanya, keputusan masih belum diperoleh dan ia dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM500,000, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan tompokan minyak dipercayai bahan kimia dan bangkai ikan ditemui di anak sungai berhampiran Jalan Batu 14, Mantin pada 5.35 pagi, Rabu lalu.

Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan turut dipanggil ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

Berita berkaitan

Tompokan minyak, bangkai ikan [METROTV]

Disiarkan pada: December 29, 2019 @ 3:04pm
d