mutakhir

Menceroboh, guna bubu naga

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

TIGA bot nelayan tempatan bersama 18 kru termasuk 13 warganegara Myanmar ditahan kerana menceroboh zon larangan menangkap ikan di perairan Sungai Belukang, Selekoh dekat Bagan Datuk, hari ini.

Penahanan oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di 3.2 batu nautika dari muara sungai itu pada 3 pagi.

Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, sebuah bot dikendali tekong tempatan dan lima awak-awak Myanmar, manakala dua lagi kendalian tekong tempatan dan masing-masing empat awak-awam Myanmar.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga bot terbabit melanggar syarat lesen ditetapkan dan semua mereka berusia 23 hingga 48 tahun dibawa ke Pusat Tahanan Vesel, Sitiawan untuk tindakan lanjut.

“Turut dirampas 200 kilogram (kg) hasil tangkapan pelbagai jenis ikan bagi setiap bot,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Shahrizan berkata, pasukan Zon Maritim Kuala Kurau menahan bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran bersama tekong tempatan dan dua awak-awak Myanmar berusia 28 hingga 30 tahun.

Menurutnya, mereka ditahan di 5.5 batu nautika dari Pulau Pasir Hitam, Taiping pada 4.30 petang semalam kerana menangkap ikan dengan alatan tidak dibenarkan.

“Kita merampas 28 unit bubu naga dan 60kg pelbagai jenis ikan. Tahanan dan rampasan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Kuala Kurau untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pencerobohan atau aktiviti jenayah di perairan negara untuk menghubungi talian kecemasan 24 jam, MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Perak di talian 05-6838737.

Disiarkan pada: December 29, 2019 @ 3:23pm
d