mutakhir

Pastikan CRS selamat tahun depan

Oleh BERNAMA

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau dengan teliti penjualan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang meluas secara dalam talian ketika ini, bagi memastikan kerusi itu benar-benar mematuhi ciri-ciri piawaian yang ditetapkan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak kementerian mempunyai tanggungjawab bagi memastikan pelbagai aspek mengenai kerusi itu dipatuhi supaya tidak timbul isu atau aduan mengenai barangan tiruan atau palsu dan tidak selamat, dijual kepada orang ramai.

“Garis panduan mengenai ciri-ciri kerusi keselamatan kanak-kanak itu telah pun dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) tahun ini.

“Apabila penggunaan kerusi CRS itu berkuat kuasa tahun depan, pihak kementerian akan terus melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan yang berkaitan dengan pematuhan ciri-ciri yang ditetapkan MIROS, standard keselamatan produk, cap dagangan sama ada palsu atau tulen dan sebagainya.

“Jika peniaga itu membuat pengiklanan, kita akan pastikan apa yang diiklan dan dijual itu betul-betul ada pada produk itu,” katanya mengulas laporan kerusi berkenaan yang didakwa boleh didapati pada harga serendah RM18 hingga RM39.90 tiap satu, menerusi pembelian secara dalam talian.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis Penyampaian Sumbangan Peralatan Dan Pakaian Sekolah Kepada 150 Murid-murid dari keluarga B40 dari Kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu di pasar raya Econsave di Bukit Mertajam, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, peruntukan seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Perihal Dagangan 2011, bagi membendung penularan penjualan CRS yang tidak menepati piawaian ditetapkan.

​​​​​​​Pada 23 Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan bahawa penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan persendirian akan diwajibkan mulai 1 Januari tahun depan.

Terdahulu Saifuddin memuji langkah yang diambil oleh pasar aya Econsave yang menawarkan barangan pada harga sangat murah.

“Berdasarkan tinjauan saya di banyak pasar raya, setakat ini pasar raya ini (Econsave) menawarkan harga paling murah iaitu bawang merah hanya RM1.99 sekilogram, ayam seekor hanya RM1 dan ada ayam yang dijual dengan hanya RM3.99 sekilogram.

“Sangat murah, jadi pengguna boleh membuat pilihan bijak semasa hendak membeli barangan keperluan,” katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2019 @ 8:26pm
d