mutakhir

Dari Selangor ke Kelantan

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali;

KOTA BHARU: Enam warga asing sanggup datang ke negeri ini dari Selangor dengan menaiki bas untuk mengambil peluang program Pulang ke Negara Asal atau Back For Good (B4G) dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Tinjauan Harian Metro di Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM di Jalan Gajah Mati, di sini, mendapati kira-kira 100 warga asing berstatus pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk Bangladesh, Nepal dan Indonesia mengambil peluang program pemutihan dilaksanakan kerajaan.

Warga Bangladesh Abdul Hamid, 32, berkata, dia bersama lima rakan menaiki bas jam 9 malam kelmarin dari Puchong, Selangor, dan tiba di Kota Bharu, jam 5.30 pagi semalam.

Katanya, dia datang ke Kelantan kerana mendapat tahu urusan untuk mendapatkan dokumen berkaitan untuk pulang ke negara asalnya lebih mudah.

“Sebelum ini, saya cuba mendapatkan dokumen di Imigresen Putrajaya dan berkampung di sana selama tiga hari, tetapi hampa.

“Saya mengambil keputusan datang ke Kelantan kerana rakan saya di sini kata lebih mudah dan cepat. Betul apa yang dikatakan rakan apabila saya mendapat dokumen berkaitan itu dalam tempoh lima jam menunggu.

“Jadi, saya boleh ke Kuala Lumpur dengan gembira dan dapat pulang ke Kampung saya di Comilla, Dhaka pada 7 Januari ini untuk bertemu ibu bapa serta isteri,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Abdul Hamid yang tinggal di negara ini selama 10 tahun berkata, dia mahu pulang ke negaranya kerana permit kerja sudah tamat tempoh sejak beberapa bulan lalu dan turut ditipu ejen untuk mendapatkan permit baru sehingga kerugian hampir RM1,000.

“Saya takut untuk tinggal di sini tanpa permit sah, jadi lebih baik saya pulang ke kampung,” katanya.

Rakannya Kioum Sossain, 32, berasal dari Borisal, Dhaka, juga akan pulang ke negaranya minggu depan.

“Saya sudah tinggal di negara ini selama 12 tahun dan tidak pulang ke negara asal sejak tiga tahun lalu.

“Dengan adanya dokumen sah ini, saya boleh pulang ke negara asal tanpa takut dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 6:05am
d