mutakhir

'Pengalaman menginsafkan saya, anak'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“PENGALAMAN ditahan polis bukan saja menginsafkan saya, tetapi anak dan sejak kejadian itu mereka lebih memahami,” kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul.

Kisah Nurul, mencuri barangan termasuk ayam di pasar raya kerana desakan hidup tular di media sosial, September lalu.

Ibu kepada tiga anak berusia empat hingga 10 tahun itu mendakwa perbuatan itu dilakukan semata-mata memenuhi keinginan anak sulung yang mahu makan daging masak merah.

Katanya, dia masih trauma dan malu mengenangkan kejadian itu yang meninggalkan kesan mendalam dalam hidup mereka sekeluarga.

“Desakan hidup membuat saya bertindak di luar kawalan, namun bersyukur kejadian itu membawa hikmah dalam hidup apabila anak sulung menjadi lebih matang dan memahami situasi keluarga kurang berkemampuan.

“Anak berjanji akan makan apa saja yang ada dan itu benar-benar membuatkan saya sedih,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di rumahnya di Bandar U, Seri Iskandar, hari ini.

Pada program itu, Pengerusi PERKEP Perak, Datin Zainah Othman dan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso menyampaikan sumbangan kepada Nurul.

Turut menerima sumbangan dan lawatan adalah lima keluarga lain iaitu pesara polis dan anak pesara.

Nurul berkata, dia sukar melupakan kejadian itu, namun masakan daging masak merah yang menjadi kegemaran anak sulung sering mengingatkannya kepada peristiwa itu.

“Sejak kejadian itu, aktivis sosial sentiasa membantu kami dan saya mula mengambil tempahan kuih secara kecil-kecilan, namun ada juga yang masih bercakap mengenai kesalahan saya.

“Keprihatinan polis dan PERKEP sangat dihargai dan menyedarkan saya walaupun pernah melakukan kesalahan, tetapi tidak dipinggirkan pihak berkuasa,” katanya.

Pada 11 September lalu, Harian Metro melaporkan, polis menahan seorang wanita kerana mencuri pelbagai barangan dianggarkan bernilai RM80 di pasar raya di Seri Iskandar.

Barangan dicuri adalah sebungkus pek isian semula krim mandian, satu bekas serbuk lada hitam, krim malam, dua bungkusan daging diperap dan satu peket kiub tulang ayam yang dimasukkan dalam beg, sebelum ditahan pengawal keselamatan ketika mahu melepasi kaunter pembayaran premis berkenaan.

Sementara itu, Zainah berkata, sumbangan itu dikumpul daripada PERKEP Perak serta IPD Perak Tengah atas dasar prihatin dan kebajikan.

“Program ini untuk mengeratkan jalinan kasih dengan menyampaikan sumbangan seperti barangan keperluan, kelengkapan persekolahan, kerusi roda dan wang kepada mereka yang terbabit.

“Selain itu, secara tidak langsung kami memberi sokongan kepada wanita yang pernah terbabit kesalahan mencuri supaya kejadian sama tidak berulang dan dapat dijadikan pengajaran untuk semua,” katanya.

Berita berkaitan

'Tak apalah, kak dibebaskan...'

'Sampai terpaksa mencuri...'

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 4:56pm
d