mutakhir

Gajah liar serang rumah sama

Oleh Mohd Rashidi Yusuf

SELEPAS serangan pertama dan merosakkan sebuah rumah di Kampung Talong Luat, Lenggong, minggu lalu, kumpulan gajah liar sama hadir lagi menyerang rumah sama, malam kelmarin.

Kali ini, kumpulan gajah terbabit merosakkan dua tingkap cermin bahagian depan rumah, mengopak beberapa keping tingkap dapur dan memecahkan pintu peti ais serta mengeluarkannya melalui tingkap dapur.

Pemilik rumah, Azaruddin Md Tarmizi, 50, berkata mereka sekeluarga yang pulang untuk melihat keadaan rumah semalam, mendapati banyak kerosakan berlaku terhadap rumah dan perabot.

Menurutnya, dia dimaklumkan mengenai kehadiran kali pertama kumpulan gajah itu yang merosakkan bumbung bilik air, memecahkan pintu bilik air, membengkokkan besi jeriji tingkap dan memecahkan cermin dua tingkap dapurnya.

“Selain itu, pam racun, periuk nasi elektrik, penyedut sampah, topi keledar, penyidai pakaian dan motosikal turut dirosakkan.

“Malam kelmarin kumpulan gajah sama hadir lagi dan merosakkan terus peti ais serta menarik keluar pintunya, memecahkan cermin dua tingkap bahagian depan rumah serta mengopak atap dapur.

“Berikutan itu saya membuat laporan polis dan laporan kepada Penghulu Mukim Temelong mengenai kerosakan rumah dan beberapa barangan dalam dan luar rumah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sabtu lalu, Harian Metro melaporkan mengenai serangan kumpulan gajah liar terbabit dan merosakkan beberapa bahagian rumah berkenaan serta beberapa barangan di dalam dan di luar rumah.

Azaruddin yang bekerja di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan tinggal di Setapak, Kuala Lumpur, terpaksa mengambil cuti hari ini untuk mengemas semula barangan di dalam rumah.

Menurutnya, kerosakan dialami itu menyebabkan mereka sekeluarga mengalami kerugian dianggarkan RM5,000.

Katanya, dia berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) membuat pemantauan secara berkala sebelum berlaku kerosakan lebih teruk lagi pada masa hadapan.

Berita berkaitan

'Amuk sang belalai'

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 5:33pm
d