mutakhir

Penangguhan PSP bersifat status quo [METROTV]

Oleh Siti Sofia Md Nasir

PENANGGUHAN Program Subsidi Petrol (PSP) bersifat ‘status quo’, sehingga Jemaah Menteri berpuas hati dan berpendapat ia boleh dilaksanakan dalam satu tempoh munasabah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penangguhan itu akan memberi ruang kepada kerajaan untuk melipatgandakan usaha memberi penerangan kepada rakyat.

“Tiada masalah dengan PSP ini kerana semuanya kita sudah lengkapkan. Kita sudah bangunkan sistem data penerima lengkap dengan nombor akaun, kaedah bayaran, malah kami juga sudah mengadakan simulasi bersama Jabatan Perangkaan.

“Namun, Kabinet berpendapat program ini masih memerlukan penerangan lebih lanjut kepada rakyat, jadi kita terima (keputusan itu),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Kembali Ke Sekolah Bersama Mydin di Mydin Bukit Mertajam, hari ini.

Terdahulu, KPDNHEP dalam kenyataan mengumumkan pelaksanaan PSP ditangguhkan, hasil keputusan bersama pada mesyuarat Kabinet pada 18 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya tidak kecewa terhadap keputusan penangguhan PSP, meskipun semua persiapan sudah dilakukan sejak awal tahun lalu.

Malah katanya, semua pihak akan terus menikmati harga subsidi sedia ada iaitu RM0.30 sen seliter bagi petrol RON 95.

“Tiada mana-mana pihak yang patut berasa kecewa atau rugi kerana semua pihak masih menikmati harga subsidi kerajaan sekarang,” katanya.

Pada 7 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PSP dengan peruntukan RM2.4 bilion dalam Belanjawan 2020 yang akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Januari ini.

Program subsidi bersasar bagi menangani ketirisan bekalan bahan api itu dijangka memberi manfaat kepada lapan juta penerima daripada kelompok B40 dan M40 yang ketika ini berdepan peningkatan kos sara hidup.

Berita berkaitan

Program Subsidi Petrol tangguh [METROTV]

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 5:35pm
d