mutakhir

Dilarang terbang dron

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

ORANG ramai dilarang menerbangkan dron pada malam sambutan Ambang 2020 yang akan diadakan di beberapa lokasi di ibu negara, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang gagal mematuhi arahan itu bagi memastikan keselamatan awam terjamin.

“Kita menugaskan pasukan khas antidron di kawasan tumpuan sambutan tahun baru esok (malam ini) untuk membuat pemantauan.

“Sekiranya ada dron diterbangkan tanpa kebenaran, kita ambil tindakan dengan menyekat kawalan ke atas dron itu dengan alat khas,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mazlan berkata, larangan menerbangkan dron itu demi keselamatan awam kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku apabila orang ramai membanjiri lokasi sambutan tahun baru.

“Beberapa penganjur sambutan akan menerbangkan dron masing-masing untuk merakam detik bersejarah, justeru kita tidak mahu dron asing diterbangkan sehingga mengganggu kelancaran majlis.

“Kita bimbang berlaku perlanggaran antara dron di udara dan terhempas, seterusnya membahayakan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, selain sambutan Ambang Tahun 2020, terdapat juga majlis perasmian Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2019 di Dataran Merdeka, malam ini.

Katanya, selain itu, sambutan tahun baru juag diadakan di Kompleks Perbadanan Putrajaya, KLCC, Pavillion, TREC Jalan Tun Razak, Sunway Velocity, Padang Awam Jinjang Utara, Axiata Arena Bukit Jalil, Bangsar South dan Solaris Mont Kiara.

“Beberapa laluan sekitar Dataran Merdeka, KLCC, Kompleks Perbadanan Putrajaya dan KLCC ditutup secara berperingkat bermula jam 8 malam esok (ini) sehingga jam 12.30 tengah malam (esok),” katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 6:10am
d