mutakhir

Baru nak jual mercun, kena rampas pula... [METROTV]

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

POLIS menahan pemilik kedai runcit selepas pemeriksaan menemui pelbagai jenis mercun bernilai RM10,000 di kedainya di Jalan Trump, Kuala Sepetang, di Taiping, semalam.

Dalam serbuan 6.30 petang itu, lelaki berusia 45 tahun itu didapati tidak mempunyai lesen menjual mercun dan melakukan kesalahan kerana memiliki serta menyimpan barangan terbabit.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pemeriksaan dijalankan polis di dalam kedai berkenaan berjaya menemui kesemua mercun berkenaan sebelum suspek ditahan untuk siasatan.

“Suspek dipercayai baru pertama kali menjual mercun di premisnya untuk pasaran sekitar daerah ini sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina dan melakukannya berikutan permintaan tinggi.

“Siasatan mendapati, suspek baru menyimpan kesemua barangan itu tidak sampai sehari dan memperoleh kesemua bekalan mercun itu dari seorang pembekal,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di Taiping, hari ini.

Osman berkata, antara mercun dirampas adalah jenis Happy Boom, Happy Boom Flower Silver Cracking Rain, Red Cracker, Happy Boom Fountain dan 10 kotak besar mercun bola.

“Kesemua mercun dirampas ini dianggarkan bernilai RM10,000 dan suspek kini direman sehingga esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2019 @ 12:15pm
d